Kata-kata kesat, 2 calon pemilihan PKR diberi ‘amaran lembut’

Jika perbuatan sama berulang selepas hari penamaan calon Jawatankuasa Rayuan, Bantahan dan Disiplin tidak akan teragak-agak mengambil tindakan keras.

VIDEO INSIDE

Syed Husin bagaimanapun enggan mendedahkan identiti 2 calon berkenaan, sebaliknya berkata beliau akan mendedahkanya sekiranya kesalahan sama berulang selepas hari ini.

PETALING JAYA: Dua calon PKR yang bertanding dalam pemilihan kali ini diberi “amaran lembut” oleh Jawatankuasa Rayuan, Bantahan dan Disiplin kerana mengeluarkan kata-kata kesat dan menuduh calon lain semasa berkempen.

Pengerusi Jawatankuasa Rayuan, Bantahan dan Disiplin, Dr Syed Husin Ali berkata sekiranya perbuatan sama berulang selepas hari penamaan calon, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan keras.

“Kami sudah keluarkan 2 surat yang ditandatangani Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Datuk Rashid Din dan saya sendiri kepada 2orang yang banyak mengeluarkan tuduhan dan kata-kata kesat terutama sekali dalam media.

“Disebabkan tuduhan itu kami sudah memberi amaran kepada mereka. Amaran yang agak ‘lembut’ oleh kerana perbuatan itu berlaku sebelum penamaan calon, iaitu hari ini.

“Tetapi bermula hari ini, kalau mereka mengulangi dan sesiapa sahaja membuat tuduhan liar terhadap mana-mana calon atau membuat ugutan, tindakan keras akan diambil,” katanya dalam sidang media, di ibu pejabat PKR, hari ini.

Dr Syed Husin bagaimanapun enggan mendedahkan identiti 2 calon yang diberikan amaran berkenaan, sebaliknya berkata beliau akan mendedahkanya sekiranya kesalahan sama berulang selepas hari ini.

“Saya rasa, agak-agak sayalah, kami tidak akan umumkan namanya tetapi selepas hari ini kalau mereka yang melakukan perbuatan tersebut mengulanginya dan kita ambil tindakan, maka kita akan umumkan,” katanya.

Sebelum ini, JPP mengumumkan senarai 8 etika tambahan pemiliihan parti yang wajib dipatuhi setiap calon yang bertanding.

Rashid memberitahu, perlanggaran etika kempen pemilihan akan mendedahkan calon kepada risiko disingkirkan daripada pertandingan pemilihan atau diambil apa-apa tindakan yang sesuai.

Beliau berkata, calon ditegah berceramah dan membuat jamuan makan besar-besaran, dihadkan aktiviti kepada majlis tertutup dengan kehadiran maksimum 100 orang serta dilarang mengamalkan budaya tuduh menuduh sesama calon atau membuat serangan peribadi.

“Iklan atau apa-apa sahaja bahan kempen adalah untuk tujuan memperkenalkan calon dan mestilah mempamerkan wajah calon sahaja dan jangan dipamerkan dalam bentuk berkumpulan,” kata laginya.

Selain itu katanya, calon turut ditegah berkempen dengan cara kekerasan dan ugutan untuk meraih undi. Perbuatan membeli undi ditegah sama sekali dan calon dilarang menggunakan kedudukan dalam kerajaan untuk berkempen.

Leave a comment