Peralihan kuasa Perdana Menteri soal muafakat

Peralihan kuasa Perdana Menteri soal muafakat
TAWAU

: Peralihan kuasa perdana menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Presiden Parti KeadIlan Rakyat (PKR) adalah soal muafakat yang akan diputuskan dalam Pakatan Harapan.

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata perkara itu akan dilaksanakan seperti mana sewaktu pemilihan Tun Mahathir sebagai perdana menteri ketujuh.

“Perkara itu (soal peralihan kuasa) perlu dikembalikan kepada Majlis Permuafakatan Pakatan Harapan, dan cuma sebelum ini telah dipersetujui ramai dan rakyat iaitu perdana menteri ketujuh ialah Tun M, manakala perdana menteri kelapan ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Tempoh masa dan ketika sesuai peralihan itu akan dibincangkan pada majlis peringkat presiden,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai Bicara Reformasi di sini, tengah malam tadi.

Menurut Rafizi, peralihan kuasa tersebut akan diselesaikan secara bijak dengan mengambil contoh kebijaksanaan majlis permuafakatan pakatan harapan menggabungkan parti pimpinan Tun M (Bersatu), Anwar (PKR), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Parti Warisan Sabah) yang membawa kemenangan pada pilihan raya umum ke-14.

Sementara itu, berbicara soal Sabah, Rafizi berkata negeri itu memerlukan tumpuan khusus berkaitan soal hak dan pembangunan serta selaras sebagai negeri nombor dua terbesar di Malaysia.

“Saya akan berkampung di Sabah dan membantu kerajaan Warisan-Pakatan Harapan untuk memperkukuhkan kemenangan pada PRU ke-15,” katanya yang tidak dapat berbuat demikian pada PRU-14 ekoran di ‘gam’ daripada menjejakkan kaki ke Sabah pada ketika itu.

Rafizi berkata perbincangan agenda pembangunan serta hak Sabah perlu dimulakan dari sekarang supaya penyelarasan bantuan kepada negeri itu dapat disalurkan sewajarnya.

“Saya lebih tahu selok belok politik serta ekonomi di Sabah berbanding negeri di Semenanjung Malaysia,” katanya yang pernah bertanggungjawab dalam beberapa projek Petronas antaranya di Kimanis dan Petronas Methanol Labuan.

Dalam pemilihan parti akhir bulan ini, Rafizi berdepan penyandang Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali.

–myBerita Hokaloh News

Istimewa di Kuala Pilah – masak lemak cili api, daging salai

KUALA PILAH

: “Masak lomak cili api nogori ni sonang ja nak masak. Kunyit, serai dan paling penting, cili api. Dah siap.”

Demikian jelas Zaini Saad, pengusaha Zaini Salai House, membuka cerita berkongsi resepi masak lemak cili apinya yang cukup terkenal bukan sahaja di kalangan penduduk setempat, malah pelancong luar yang datang ke sini semata-mata untuk makan di kedainya.

Bercerita lanjut, kata Zaini, 36 tahun, semua masakan masak lemaknya menggunakan produk yang disalai.

Masak lemak ayam, masak lemak daging, masak lemak ikan keli dan rendang itik – semuanya disalai dahulu.

Masak lemak pula, katanya, mesti kena dengan ‘jodoh’nya.

“Contohnya, masak lemak daging, kena dengan rebung atau pucuk ubi, terung pipit atau terung telunjuk.

“Kalau tak kena, tak sedap,” katanya.

Ayam kampung, itik salai dan burung puyuh salai, kata Zaini, jodohnya ialah dengan pucuk pegaga.

“Daun puding, jodohnya dengan ayam kampung. Itik salai dan puyuh, kena masak rendang. Dan daun maman pula, diguna untuk masak rendang itik atau masak lemak ayam kampung,” tambahnya.

Batang pokok getah digunakan sebagai bahan pemula api sebelum melakukan proses menyalai daging. – Astro AWANI/Khairunnisa Kasnoon

Selain daripada resepi dan pasangan jodoh, menurut Zaini yang telah membuka kedainya sejak tujuh tahun lepas, cara menyalai produk juga memainkan peranan bagi memberi rasa kepada masakan. 

Malah katanya, ada juga yang masih salah faham bagaimana proses salai itu dijalankan.

“Apa yang diketahui umum, ia seperti grill (panggang), tapi salah. Ia sangat berbeza.

“Kita guna asap, dan kayu-kayu api yang terpilih, seperti kayu pokok rambutan, manggis, sebagai bahan bakar, bagi mendapatkan aroma yang sedap,” jelasnya.

Boleh tahan juga pedih mata ketika menyalai, kata Zaini. Astro AWANI / NISA KASNOON

Boleh tahan juga pedih mata ketika menyalai, kata Zaini. – Astro AWANI/Khairunnisa Kasnoon

Cara mengasapkan produk juga perlu betul bagi memastikan ayam, ikan, daging dan itik yang disalai berkualiti serta masih berjus, kata Zaini.

“Tidak seperti memanggang, di mana jarak api dengan produk yang dibakar terlalu dekat, membuatkan ia cepat kering.

“Untuk salai, kita asapkan dengan jarak tiga hingga empat kaki, agar aroma dapat diserap, dan ia memakan masa tiga hingga empat jam,” ujarnya lagi.

Paling minimum, produk yang disalai memakan masa hingga empat jam. Maksimum, ada juga yang mengambil masa hingga 24 jam.

Istimewanya produk salai, ia boleh disimpan lama.

Zaini Salai House dibuka sejak tujuh tahun lepas. Astro AWANI / NISA KASNOON

Zaini Salai House dibuka sejak tujuh tahun lepas. – Astro AWANI/Khairunnisa Kasnoon

“Sebenarnya, inilah cara orang dulu-dulu nak simpan makanan seperti daging. Dulu kan tak ada peti ais. Jadi, mereka salai daging lama-lama, sampai keras, dan simpan.

“Apabila nak makan, mereka kikis bahagian luar yang hitam itu. Sebab itu dulu mereka salai lebih lama. Berhari-hari. Mengikut kata datuk saya yang berkongsi cerita. Tapi itu dulu, sekarang dah moden,” ceritanya lagi.

Bagaimanapun, perlu diingat, kata Zaini, produk yang bertulang seperti ayam dan itik tidak boleh disimpan lama seperti daging.

“Sekurang-kurangnya, ayam, itik, bolehlah tahan sehari. Tetapi daging, berhari-hari. Apabila hendak dimasak, perlu basuh sahaja,” ujarnya. 

Zaini Salai House menggunakan kayu api terpilih, seperti pokok rambutan dan manggis, sebagai bahan bakar, bagi mendapatkan aroma yang sedap. Foto Zaini Saad

Zaini Salai House menggunakan kayu api terpilih, seperti pokok rambutan dan manggis, sebagai bahan bakar, bagi mendapatkan aroma yang sedap. – Astro AWANI/Zaini Saad

 

Resepi sejak 30 tahun dulu itu akan diteruskan, kata Zaini, kerana selain ia warisan turun temurun, ia juga berpotensi dijadikan produk pelancongan yang sekali gus menaikkan nama Kuala Pilah.

Apatah lagi, kedai makannya yang terletak betul-betul di tepi jalan utama Kuala Pilah – Seremban merupakan laluan yang turut digunakan pengguna untuk ke pantai timur.

Muzium Warisan India Pertama di M’sia, tarikan baharu di P.Pinang | Informasi Hokaloh News

GEORGE TOWN: Semuanya bermula daripada hobi mengumpul mangkuk tingkat lama yang digunakan oleh masyarakat India sehingga diiktiraf sebagai pengumpul paling banyak dalam Malaysia Book of Records.

Bermula daripada hobi itu, pasangan suami isteri J Prakash, 39, dan M Punita kini mempamerkan koleksi antik mereka di Muzium Warisan India, yang menyimpan ratusan jenis artifak yang diguna pakai oleh masyarakat India dahulukala.

Bertempat di Jalan Macalister, muzium yang pertama seumpama itu di Malaysia dibuka pada 1 Mei lepas dan menjadi tarikan baharu pelancong ke Pulau Pinang.

Memasuki muzium itu, pelawat berpeluang melihat 721 jenis barang-barang kegunaan harian, sembahyang dan kerjaya masyarakat India sejak tahun 1800.

“Selepas diiktiraf dalam Malaysia Book of Records sebagai pengumpul mangkuk tingkat lama yang terbanyak, kami mengembangkan hobi kami dengan mengumpul pelbagai barang kegunaan masyarakat India,” kata Prakash kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.

Prakash yang merupakan pengumpul dan pengurus muzium itu, berkata hampir 85 peratus barang yang dipamer di muzium itu merupakan barang-barang yang diguna pakai oleh masyarakat India di Malaysia dan dibeli dari luar negara.

“Muzium ini dapat membawa pengunjung mengenang semula kehidupan zaman lama selain memberi generasi muda pengetahuan pembelajaran sejarah lama dan penyelidikan,” katanya.

Beliau berkata muzium itu ditubuhkan dengan kerjasama Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang yang sudi menyediakan tempat yang sesuai dan selesa untuk mempamerkan semua barang artifak itu.

“Sejak dibuka pada Mei lepas, muzium yang dibuka tiga hari seminggu itu telah dikunjungi hampir 1,000 pengunjung setiap bulan,” katanya.

Melihat kepada sambutan terhadap muzium itu, Prakash berkata kerja-kerja pembesaran tempat pameran sedang dijalankan supaya lebih banyak koleksi mereka dapat dipamerkan.

“Kini hanya lebih 700 daripada 1,700 koleksi barangan artifak dapat dipamer dalam muzium ini tetapi selepas kerja-kerja menaik taraf, kemungkinan besar semua koleksi kami akan dipamer di sini,” katanya.

Beliau berkata waktu operasi muzium itu dijangka akan dilanjutkan selepas kerja-kerja pembesaran muzium yang bakal menawarkan lebih 2,000 kaki persegi ruang pameran itu, siap hujung tahun ini.

Buat masa ini, Muzium Warisan India dibuka setiap hari Rabu, Sabtu dan Ahad dari 10 pagi hingga 4 petang tanpa sebarang bayaran masuk dikenakan.

— BERNAMA

https://hokaloh.news/informasi/muzium-warisan-india-pertama-di-msia-tarikan-baharu-di-p-pinang-informasi-hokaloh-news/