Peralihan jawatan perdana menteri muafakat PH, kata Rafizi

Peralihan jawatan perdana menteri muafakat PH, kata Rafizi

Rafizi berkata, peralihan kuasa itu akan diselesaikan secara bijak seperti kebijaksanaan majlis permuafakatan PH menggabungkan parti pimpinan Dr Mahathir, Anwar, Mohd Shafie Apdal yang membawa kemenangan dalam pilihan raya umum ke-14.

Kata Rafizi, perkara itu akan dilaksanakan seperti mana sewaktu pemilihan Dr Mahathir sebagai perdana menteri ketujuh.

TAWAU: Peralihan kuasa perdana menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Presiden Parti KeadIlan Rakyat (PKR) adalah soal muafakat yang akan diputuskan dalam Pakatan Harapan (PH).

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata perkara itu akan dilaksanakan seperti mana sewaktu pemilihan Tun Mahathir sebagai perdana menteri ketujuh.

“Perkara itu (soal peralihan kuasa) perlu dikembalikan kepada Majlis Permuafakatan Pakatan Harapan, dan cuma sebelum ini telah dipersetujui ramai dan rakyat iaitu perdana menteri ketujuh ialah Tun M, manakala perdana menteri kelapan ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Tempoh masa dan ketika sesuai peralihan itu akan dibincangkan pada majlis peringkat presiden,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai program Bicara Reformasi di sini, tengah malam tadi.

Menurut Rafizi, peralihan kuasa tersebut akan diselesaikan secara bijak dengan mengambil contoh kebijaksanaan majlis permuafakatan PH menggabungkan parti pimpinan Tun M (Bersatu), Anwar (PKR), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Parti Warisan Sabah) yang membawa kemenangan pada pilihan raya umum ke-14.

Bercakap tentang Sabah, Rafizi berkata negeri itu memerlukan tumpuan khusus soal hak dan pembangunan serta selaras ngan kedudukannya sebagai negeri nombor 2 terbesar di Malaysia.

“Saya akan berkampung di Sabah dan membantu kerajaan Warisan-Pakatan Harapan untuk memperkukuhkan kemenangan pada PRU ke-15,” katanya yang tidak dapat berbuat demikian pada PRU-14 ekoran di ‘gam’ daripada menjejakkan kaki ke Sabah pada ketika itu.

Rafizi berkata perbincangan agenda pembangunan serta hak Sabah perlu dimulakan dari sekarang supaya penyelarasan bantuan kepada negeri itu dapat disalurkan sewajarnya.

“Saya lebih tahu selok belok politik serta ekonomi di Sabah berbanding negeri di Semenanjung Malaysia,” katanya yang pernah bertanggungjawab dalam beberapa projek Petronas antaranya di Kimanis dan Petronas Methanol Labuan.

Dalam pemilihan parti akhir bulan ini, Rafizi berdepan penyandang jawatan timbalan presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali.

PRK N32: Calon Pas tidak anggap Seri Setia kubu kuat PKR

PETALING JAYA

: Calon Pas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia, Dr Halimah Ali tidak menganggap Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia kubu kuat Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Jelasnya, istilah kubu kuat itu tidak wujud, sebaliknya beliau menekankan kepada semak dan imbang yang perlu ada pada sebuah parti untuk membela nasib rakyat.

“Tiada istilah mengatakan Seri Setia adalah kubu kuat (PKR) kerana Barisan Nasional adalah kubu kuat selama 60 tahun, tetapi sebab isu-isu rakyat dan orang muda tunjukkan pada PH apa yang perlu ditekankan.

“Bukan janji begitu manis sehingga orang tertarik untuk mengundi PH pada PRU14, kalau tidak memberikan semak dan imbang maka PH akan leka dan lena,” katanya kepada media selepas pengumuman rasmi calon PRK Seri Setia di Dewan Sivik MBPJ di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau yakin pengalamannya sebagai bekas exco kerajaan negeri dan ADUN Selat Klang akan memastikannya menjadi wakil rakyat yang mampu membawa suara pengundi ke peringkat tinggi.

Mengulas mengenai sokongan UMNO kepada Pas sepanjang hari penamaan calon, Dr Halimah menjelaskan ia adalah bentuk kerjasama antara kedua-dua parti setiap kali pilihan raya dalam membentuk sebuah pakatan pembangkang yang kuat.

Dr Halimah akan bersaing dengan calon PH, Halimey Abu Bakar pada PRK Seri Setia pada 8 September ini.

Pada penamaan calon pagi tadi, calon Pas turut mendapat sokongan Ketua Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad dan beberapa pimpinan UMNO.

Barisan Nasional sebelum ini mengumumkan untuk tidak meletakkan calon di DUN Seri Setia bagi memberi laluan kepada calon Pas.

Tambah suara pembangkang, kegagalan janji PH fokus kempen PAS, kata Tuan Ibrahim

Tuan Ibrahim berkata, dalam konteks negeri perlu ada suara pembangkang yang kuat bagi mengimbangi kuasa kerajaan.

Tuan Ibrahim berkata, rakyat kelihatan menyuarakan kekecewaan terhadap kegagalan kerajaan PH menunaikan janji yang terkandung dalam manifesto pilihan raya.

PETALING JAYA: PAS akan memberi fokus kepada 2 isu utama iaitu kegagalan kerajaan menunaikan manifesto Janji 100 Hari serta ketidakseimbangan komposisi kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kempen pilihan raya kecik (PRK) kerusi DUN Seri Setia.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kedua-dua isu berkenaan dilihat penting memandangkan ia berkait rapat dengan kepentingan rakyat.

“Dalam konteks negeri, perlu ada suara pembangkang yang kuat bagi mengimbangi kuasa kerajaan. Sekarang kita cuma ada 5 suara pembangkang dalam DUN Selangor. Sebab itu kita perlu ada semak dan imbang yang lebih kuat.

“Isu kedua, apabila peralihan pentadbiran berlaku, rakyat boleh menilai prestasi selama 100 hari yang dijanjikan dan sejauh mana mereka mampu menunaikannya,” katanya ketika hadir di pusat penamaan calon PRK Seri Setia di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, rakyat kelihatan menyuarakan kekecewaan terhadap kegagalan kerajaan PH menunaikan janji yang terkandung dalam manifesto pilihan raya mereka.

Malah menurutnya, kerajaan sendiri mengakui kegagalan itu apabila Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri sekadar memberi markah 33% kepada prestasinya sepanjang 100 hari pentadbiran PH.

“Kita lihat rakyat ‘termakan’ dengan janji dan manifesto PH dalam pilihan raya umum 9 Mei lepas kerana mereka ingin melihat perubahan kepada negara.

“Tetapi apa yang berlaku hari ini, mereka meluahkan rasa kecewa menerusi media sosial terhadap kegagalan kerajaan menunaikan manifesto yang dijanjikan,” kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

Umno gerakkan jentera bantu PAS



Sementara itu Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata parti itu akan menggerakkan jentera mereka bagi membantu calon PAS dalam PRK Seri Setia.

Katanya, selain jentera kempen, Umno juga akan menyenaraikan beberapa penceramah berkaliber untuk menyokong PAS sepanjang 21 hari tempoh berkempen.

“Sejak pengumuman calon PAS tempoh hari, pimpinan Umno Bahagian telah hadir memberi sokongan.

“Soal bantu berkempen, 3 pergerakan Umno iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri akan gerakkan jentera mereka untuk bantu kempen PAS.

“Kita juga akan berbincang dengan PAS mengenai perkara lain yang mungkin diperlukan. Majlis Tertinggi Umno juga akan menyediakan penceramah bagi program kempen,” katanya.

Ismail juga menganggap PRK Seri Setia secara tidak langsung sebagai titik tolak kerjasama lebih baik antara Umno dan PAS, walaupun bukan secara hitam putih.

“Hari ini saya menganggap kerjasama Umno dan PAS adalah rasmi walaupun tiada perjanjian di atas kertas. Kehadiran pimpinan Umno dan sokongan yang diberikan jelas menunjukkan hubungan antara kedua-dua parti semakin baik.

“Jika dibandingkan dengan PRK Sungai Kandis, hubungan kali ini lebih baik dan kita komited untuk pastikan PAS menang di Seri Setia,” katanya.

Wan Azizah dilarang masuk ke kawasan serahan borang calon.



Terdahulu difahamkan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail tidak dibenarkan memasuki kawasan

penyerahan borang pencalonan.

Pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak membenarkan Wan Azizah masuk untuk melihat proses pencalonan kerana dipercayai tidak mempunyai pas masuk, tetapi beliau dibenarkan duduk di khemah VIP sementara menungu pengumuman calon bertanding.

Ketika ditemui media Wan Azizah berharap pengundi Seri Setia terus memberi mandat kepada calon PH dan berharap peratus keluar mengundi meningkat berbanding PRK Sungai Kandis.

“Kita nak ramai keluar mengundi berbanding di Sungai Kandis. Memang sejuk sikit sambutan kali ini, saya juga harapkan ramai pengundi keluar mengundi dalam PKR Balakong dan Seri Setia,”katanya.

Wan Azizah berkata, dalam PRK Seri Setia dan Balakong PH akan mengunakan logo sendiri.

“Kita menggunakan logo baru, logo PH. Kita tahu proses ini memerlukan masa. Inilah kali pertama kita guna di Balakong dan Seri Setia,” katanya.

PRK Seri Setia menyaksikan pertandingan 2 penjuru antara PAS dan calon PKR yang mewakili PH.

Calon PAS Dr Halimah Ali bakal berdepan satu lawan satu dengan calon PH, Halimey Abu Bakar.

Perkara itu diumum secara rasmi Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi PRK Seri Setia Datuk Mohd Azizi Mohd Zain setelah pihaknya menerima 2 borang pencalonan.

Dr Halimah diringi oleh pemimpin PAS antaranya Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung, Datuk Takiyuddin Hassan, Pengarah Pilihanraya, Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar, Pesuruhjaya PAS Selangor, Salehin Muhyi serta pimpinan negeri dan pusat.

Turut mengiringi calon PAS ialah pemimpin Umno termasuk Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ketua Wanita, Datuk Noraini Ahmad, Datuk Shamsul Anuar Nasarah Datuk Lokman Noor Adam, Ketua Putri, Datuk Zahida Zarik Khan.

Di pihak PH, antara pemimpin yang hadir ialah Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Zuraida Kamarudin, Dr Mariah Mahmud, Amirudin Shari, Maria Chin, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Tian Chua.

Azmin, Zuraida, Amirudin bagaimanapun kelihatan meninggalkan pusat penamaam calon lebih awal sebaik sahaja Wan Azizah tiba.

Saifuddin beri jaminan e-undi pemilihan PKR telus, berintegriti

Saifuddin beri jaminan e-undi pemilihan PKR telus, berintegriti
KUALA LUMPUR

: Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail memberi jaminan sistem ‘e-undi’ yang akan dilaksanakan buat pertama kali pada pemilihan PKR kali ini telus dan berintegriti.

Beliau berkata sistem yang dibangunkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) dengan bantuan pakar itu telah dibentangkan dalam semua struktur lapisan parti dan dijamin tidak akan berlaku manipulasi data ketika pelaksanaannya.

“JPP telah bekerja keras membina sistem ini dan ia telah mendapat kelulusan semua peringkat lapisan parti, jaminan kita ialah sistem ini telus dan berintegriti,” katanya kepada pemberita selepas melepaskan peserta pada program larian SSM BizRun 2018 di sini pagi ini.

Saifuddin berkata bagi pihak dalam parti sama ada calon bertanding atau anggota yang masih mempunyai kemusykilan mengenai sistem ini boleh berjumpa sendiri dengan JPP berbanding mempertikaikannya di luar parti.

“Saya suka menasihatkan kalau ada lagi nak bertanya bagaimana sistem ini dikendalikan, jalan yang paling baik ialah tanya pada JPP.

“Tanpa perlu untuk mempertikaikan di luar daripada saluran, JPP adalah jawatankuasa yang diwujudkan oleh parti dan mereka mengamalkan prinsip ketelusan yang akan membantu anggota parti yang mahu tahu lebih tentang integriti sistem ini,” katanya.

Kira-kira 800,000 anggota PKR seluruh negara layak mengundi pada pemilihan kali ini yang membabitkan 218 cabang di seluruh negara.

Seramai 300 JPP dan 3,000 petugas akan terlibat dalam memastikan kelicinan pengundian dan 600 buah peranti e-undi akan dimobilisasikan sepanjang pemilihan itu berlangsung.

Pengundian peringkat cabang dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) akan bermula pada 14 September di Kelantan dan Terengganu, 15 September (Negeri Sembilan, Melaka dan Pahang), 17 September (Kuala Lumpur), 22 September (Pulau Pinang dan Kedah), 23 September (Selangor), 29 Sept (Johor), 30 September (Perak, Perlis), 6 Oktober (Sarawak) dan 13 Oktober di Sabah.

Proses penamaan calon peringkat cabang telah berlangsung pada 27 Julai lalu termasuk pada 5 Ogos bagi peringkat MPP namun penamaan calon untuk Selangor yang dibuat pada 12 Ogos berikutan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis pada 4 Ogos lepas.

— myBerita Hokaloh News

Proses pencalonan PRK Balakong, Seri Setia bermula 9 pagi

KUALA LUMPUR

: Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Balakong dan Seri Setia akan bermula serentak pada pukul 9 pagi ini.

Penamaan calon masing-masing akan diadakan di Dewan Demense, Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat bagi PRK Balakong dan di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bagi PRK Seri Setia.

Tempoh masa untuk mengemukakan pencalonan akan berlangsung selama satu jam sehingga pukul 10 pagi, diikuti dengan pengumuman calon-calon yang bakal bertanding oleh pengawal pengurus kedua-dua PRK tersebut.

Di PRK Balakong Pakatan Harapan (PH) akan menampilkan bekas anggota Majlis Perbandaran Subang Jaya Wong Siew Ki, 32, untuk mempertahankan kerusi DUN itu. Beliau juga adalah naib Ketua Wanita DAP Bahagian Serdang.

PRK ini juga mencatat sejarah apabila MCA akan bertanding menggunakan logo partinya sendiri sejak tertubuhnya Perikatan dan Barisan Nasional dan akan mempertaruhkan ahli perniagaan dan anak tempatan, Tan Chee Teong sebagai calon mereka.

Selain PH dan MCA, Parti Rakyat Malaysia (PRM) juga dijangka akan bertanding di PRK Balakong, seperti yang diumumkan oleh presidennya Ariffin Saimon pada 5 Ogos lepas, namun siapa yang akan menjadi calonnya masih belum diketahui.

Sementara itu, bagi PRK Seri Setia, PKR pada Khamis lepas telah mengumumkan bekas Anggota Majlis Bandaraya Petaling Jaya Halimey Abu Bakar, 46, sebagai calon PH.

PAS, yang diberi laluan untuk bertanding oleh UMNO yang tidak meletakkan calon pada PRK Seri Setia pula mempertaruhkan bekas anggota exco kerajaan negeri Selangor yang juga bekas ADUN Selat Klang, Dr Halimah Ali, 58.

PRK Balakong diadakan berikutan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chee (PH) dalam satu kemalangan jalan raya pada 20 Julai lepas manakala PRK Seri Setia pula diadakan berikutan kematian penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin dari PH akibat barah usus pada 2 Ogos lepas.

Kedua-dua PRK itu merupakan yang kedua dan ketiga sejak pilihan raya umum ke-14 yang diadakan pada 9 Mei lepas.

PRK pertama telah diadakan bagi DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos lepas. PRK Sungai Kandis dimenangi oleh calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni yang meraih 15,427 undi bagi dengan majoriti 5,842 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam, yang mendapat 9,585 undi dan calon Bebas, K Murthy (97 undi)

Kesemua pilihan raya kecil yang diadakan setakat ini adalah melibatkan kerusi DUN Selangor.

Sementara itu, laman web Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan cuaca adalah baik di kedua-dua kawasan DUN tersebut hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan pengundian dijalankan serentak pada 8 September manakala undi awal akan diadakan pada 4 Sept.

— myBerita Hokaloh News